Make your own free website on Tripod.com

JABATAN AGAMA ISLAM SABAH HILANG KREDIBILITI

Saudara Pengarang,

PAS Sabah dan umat Islam seluruhnya mengalu-alukan jaminan Jabatan Agama Islam Sabah (JHEAINS) untuk menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya keatas Datuk Mohd. Sari, seorang tokoh perniagaan Cina yang mengaku beragama Islam berdasarkan kepada nama Islamnya, yang telah memotong babi panggang disuatu majlis memungut derma bagi mangsa JE yang diadakan di Kota Kinabalu pada 14.4.1999.

Kenyataan JHEAINS pada 21.4.1999 yang tersiar dalam Daily Express merupakan sesuatu yang dinanti-nantikan oleh umat Islam meskipun ia agak terlewat.

Walau bagaimanapun, JHEAINS hendaklah melihat insiden mutakhir yang mengaibkan umat Islam ini sebagai tidak terpisah dari banyak isu-isu lain yang turut mencemarkan Islam yang kewajipan mencegahnya berada dibawah bidangkuasa JHEAINS sesuai selaku sifatnya sebagai sebuah institusi yang dipertanggungjawabkan menjaga dan memelihara kesucian Islam dan maruah umat Islam. JHEAINS hendaklah bersikap proaktif dan bukan 'issue-oriented'.

Insiden memotong babi panggang hanya merupakan rentetan dari beberapa insiden lain yang mencemar serta memprovokasi Islam dan umat Islam. JHEAINS harus turut bertanggungjawab cuba mempersenda Islam apabila hukum dan undang-undang sekular yang dikuatkuasakannya diberi label 'undang-undang syariah'. Sebagai contoh, JHEAINS mengenakan hukuman denda keatas pesalah zina dan hukuman itu di- kategorikan sebagai undang-undang yang menyalahi 'Enakmen Syariah'. Adalah suatu yang amat mengelirukan apabila undang-undang yang sepatutnya hanya menyangkut hal-ehwal umat Islam tidak dapat dilaksanakan menurut yang diwajibkan oleh Islam. Mengapa JHEAINS masih memilih undang-undang yang asing bagi umat Islam untuk kesalahan-kesalahan yang boleh dikenakan hukum syarak?

JHEAINS juga harus turut bertanggungjawab daripada tindakan yang menghalang dari tersebarnya maklumat dan ajaran Islam apabila JHEAINS tidak membenarkan penceramah-penceramah tertentu daripada berceramah dalam masjid-masjid iaitu rumah Allah yang dibina atas keringat pembayar cukai. JHEAINS secara langsung atau tidak langsung telah turut terseret memberikan saham kearah keruntuhan moral dikalangan para remaja kerana mereka tersekat daripada mendapat maklumat mengenai ajaran Islam yang serba lengkap itu.

PAS Sabah juga menggesa JHEAINS supaya merangka satu dasar bagi menghalang umat Islam dari bekerja dipremis-premis yang menjual daging babi seperti restoran- restoran dan kelab-kelab malam. Penternakan babi yang terletak di Batu Putih, Sandakan, yang berhampiran dengan kawasan masjid dan kediaman umat Islam mestilah ditangani segera kerana isu telah dibangkitkan sejak lebih 7 tahun lalu. Jaminan demi jaminan untuk memindahkannya tidak mempunyai apa-apa erti jika tidak disertai dengan komitmen yang sungguh-sungguh!

Akhir sekali, PAS Sabah ingin mengajak JHEAINS supaya berkerjasama untuk memulihkan kembali maruah Islam yang telah lama dipijak-pijak oleh golongan yang suka melihat kepada malapnya cahaya Islam dibumi Sabah yang cukup subur untuk dijadikan medan dakwah menarik saudara-saudara baru kedalam Islam.

HAMZAH HJ. ABDULLAH

Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah