Make your own free website on Tripod.com

KENYATAAN MEDIA GABUNGAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA SEDUNIA (GPIMS) BERHUBUNG KEPUTUSAN PENGHAKIMAN KE ATAS DATO' SERI ANWAR IBRAHIM DAN PARTI KEADILAN NASIONAL.

Merujuk kepada perkara di atas, GPIMS yang mewakili semua pelajar-pelajar Islam Malaysia di seluruh dunia ingin melahirkan rasa sedih dan dukacita di atas hukuman yang telah di jatuhkan oleh mahkamah terhadap Dato' Sri Anwar Ibrahim baru-baru ini. Walaubagaimnapun kami tidak merasa terkejut atas keputusan dan hukuman tersebut memandangkan banyak kenyataan-kenyataan yang telah dibuat oleh pimpinan tertinggi negara sebelum ini yang membayangkan sedemikian. Kami sekali-kali tidak ingin mempertikaikan keputusan dan hukuman tersebut.

Walaubagaimanapun melihat kembali kepada rentetan perjalanan perbicaraan kes ini yang rata-ratanya dipertikaikan oleh banyak pihak, kami bimbang kewibawaan institusi keadilan negara akan terjejas. Sebagai pelajar yang berada di luar negara, kami banyak menerima pertanyaan-pertanyaan dan tidak kurang juga komen-komen yang negatif terhadap sistem keadilan negara dari masyarakat antarabangsa. Ini amat membimbangkan kami.

Oleh itu kami meminta supaya semua pihak kembali menghormati prinsip kedaulatan undang-undang (rule of law). Doktrin pembahagian kuasa (separation of powers) hendaklah benar-benar diamalkan bagi memastikan keadilan akan dapat ditegakkan tanpa ada campur tangan dari mana-mana pihak. Tanpa menghormati dan mengamalkan prinsip-prinsip tersebut penyalahgunaan kuasa akan pasti berleluasa.

Kami juga merasa amat kesal terhadap pihak-pihak tertentu yang bersikap kasar dan melakukan provokasi di dalam menyuraikan perhimpunan aman yang dilakukan oleh penyokong-penyokong Dato' Seri Anwar Ibrahim. Kami ingin mengingatkan bahawa cara tersebut tidak akan dapat menyelesaikan masalah bahkan kami bimbang ia akan lebih membangkitkan kemarahan dan boleh membawa kepada permusuhan antara rakyat dan pihak berkuasa. Kami juga mendesak pihak berkuasa agar membebaskan semua yang telah di tahan dengan segera.

GPIMS juga menyeru kepada Parti Keadilan Nasional khususnya dan parti-parti pembangkang lain amnya agar keadilan yang diperjuangkan biarlah atas prinsip keadilan Islam. Hanya Islam sahajalah yang dapat memberikan keadilan untuk semua tanpa mengira batasan agama dan bangsa.

GPIMS juga amat berharap dengan pelancaran PKN baru-baru ini akan dapat menguatkan barisan pembangkang dan terus bersama dengan PAS dalam perjuangan menuntut keadilan berteraskan Islam. Jangan sekali-kali memberi ruang kepada mana-mana pihak untuk memecah belahkan perpaduan umat Islam. Kami ingin mengingatkan agar pimpinan PKN sentiasa berhati-hati dalam melayari bahtera menempuh taufan dan gelombang politik yang ganas.

Kepada keluarga Dato' Seri Anwar Ibrahim, kami mendoakan agar mereka tabah menghadapi ujian yang amat getir ini. Sesungguhnya Allah swt sentiasa bersama-sama mereka yang sabar.

Yang benar,

Mohd Fadzli Hassan,
Presiden Al Hizbul Islami UK & EIRE (HIZBI),
merangkap Pengerusi GPIMS.
(GPIMS didokongi oleh pelajar-pelejar Malaysia di United Kingdom, USA,
Mesir, Saudi, Jordan, Syria, Sudan, Yaman, India dan Pakistan)