Make your own free website on Tripod.com

PEMAIN SILAP MATA

Nampaknya Mahathir mahu mencipta kerajaannya sendiri. Dia telah merancang perkara ini begitu lama. Berbagai-bagai perkara telah dibuatnya mendapat sokongan. Dia berjaya mempersonakan hati rakyat, seperti Jepun dahulu sewaktu belum menyerang Malaya. Semua rakyat terpesona dan suka pada Jepun. Imej Mahathir dimata orang Melayu adalah segala-galanya. Mereka terpukau dan terpesona dengan keperibadiannya. Tetapi orang Melayu bukan bodoh. Mereka tahu yang berkilau dan bercahaya itu tidak semestinya intan. Orang sekarang telah boleh mencipta berlian-berlian palsu.

Mahathir adalah contoh seorang pemimpin Islam yang lahiriahnya macam Imam Mahadi. Samakah Mahathir dengan Imam Mahadi ? Dari pandangan lahiriahnya dari segi pandangan mata kasar Mahathir tidak melakukan segala yang ditegah oleh Allah. Dia hidup seperti orang Islam. Benarkah Mahathir membuat apa yang disuruh oleh Allah ? Mahathir nampaknya akan membawa orang-orang yang taat dan percaya kepadanya ke satu dunia yang dimimpikannya. Mahathir memang ada rancangan untuk pengikut-pengikutnya. Dunia yang macam mana ? Negeri yang macam apa?

Slogan "Bersih, Cekap, Amanah" ini macam satu permainan silap mata. Macam satu sihir, dan baru baru ini dia telah bawa keluar ular tedung dari permainan silap matanya. Bila Mahathir bawa keluar ular tedung itu, baru rakyat tahu, ini bukan sebarang silap mata. Bukan sebarang sihir. Ini betul-betul punya sihir dan silap mata. Ha ! ... apa rakyat mahu buat. Itu pindaan perlembagaan bukankah ular yang boleh mematuk? Ular permainan silap mata itu baru belit sahaja. Nasib baik, cepat sedar. Kalau tidak matilah Raja-raja kita dipatuk ular pemain silap mata.

Orang sihir itu memang banyak pandai. Dia cakap pada kawannya biar Bersih, Cekap dan Amanah dan jangan buka rahsia. Itu pindaan Perlembagaan selama dua bulan menjadi rahsia. Sesiapapun tidak heboh-heboh. Raja sendiri tak tahu, kerana orang raja tidak memberi tahu raja..

Demikianlah Mahathir. Rahsia itu telah disembunyikannya daripada pengetahuan ramai. Ia benar-benar menjadi rahsia. Dan ini memang kenalah dengan dasar Bersih, Cekap dan Amanah yang disarankan oleh Mahathir kepada kakitangan kerajaan dan anggota anggota parlimennya. Mereka merahsiakan keputusan perlembagaan itu. Sehingga tidak ada sepatahpun berbangkit didalam Perhimpunan Agung ke-34 yang lalu, dan ini membuktikan bahawa tidak ada seorang pun daripada perwakilan yang menyedari akan pindaan tersebut. Kalau ada pun sudah terpukau oleh sihir permainan silap mata. Kalau tidak masakan pinda yang boleh melucutkan kekuasaaan Raja-raja di tiap-tiap negeri serta kekuasaan yang ada pada Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong, tidak dibahaskan sama sekali.

Rakyat boleh dipermain-mainkan dan digelapkan segala maklumat dengan tendang terajang politik, tetapi mereka tidak akan rela Raja-raja mereka diperkecilkan-kecilkan dan seterusnya melucutkan kekuasaan yang telah dijanjikan oleh "UMNO dahulu".

Dua bulan rahsia pindaan Perlembagaan tersimpan rapi didalam peti besi di bilik Jabatan Perdana Menteri, Nasib baik Datuk Senu Abdul Rahman, bekas setiausaha Agung UMNO Malaysia memecahkan suasana kesepian itu dengan mengadakan satu sidang akhbar pada 5 Oktober di Holiday Inn beberapa hari selepas beliau menghantar sepucuk surat terbuka kepada Perdana Menteri, berhubung dengan buruk baiknya pindaan Perlembagaan itu jika diluluskan.

Dibawah ini kita cuba menyorot pindaan Perlembagaan dan persoalan yang kita tumpukan ialah atas dua perkara. Pertamam, pindaan Fasal 66 (5) dan Kedua, Fasal 150 (1).

Mengenai Fasal 66 (5) pindaan dikehendaki supaya secara automatik menjadi Undang-undang selepas 15 hari samada ia diperkenankan oleh Yang DiPertuan Agung ataupun tidak.

Berhubung dengan Fasal 150 (1) pindaan yang dikehendaki ialah kalau Perdana Menteri mendapati darurat patut diisytiharkan dimana-mana juga dalam negara ini, baik secara menyeluruh di seluruh negara ataupun di tempat-tempat tertentu sahaja - maka Perdana Menteri boleh menasihatkan Yang DiPertuan Agung dan Yang DiPertuan Agung MESTI mengisytiharkan darurat.

Kedua-dua pindaan itu menjadikan Perdana Menteri orang yang paling berkuasa, dan dalam sejarah 26 tahun kita mencapai kemerdekaan, belum pernah seorang Perdana Menteri pun mempunyai kuasa yang begitu besar, malah dalam seluruh negara demokrasi di dunia rasanya Perdana Menteri Malaysia lah orang yang pertama yang paling banyak kuasa.

Kuasa yang ada pada Perdana Menteri sekarang jauh lebih banyak dari kuasa yang ada pada Perdana Menteri yang dikritik oleh Dilema Melayu tahun 1970 dahulu.

Dalam Dilema Melayu ada menyebut, antara lain, bahawa punca kerajaan Perikatan 'korup atau rasuah' adalah disebabkan kerana kuasa yang terlalu besar yang dipikul oleh Ketua Kerajaan dan orang itu juga Ketua Parti. Tidak ada sesiapa yang berani menegurnya lagi. Apa yang Mahathir sedang buat ni ?

Dilema Melayu yang dikarang kira-kira 13 tahun yang lampau mencegah pindaan Perlembagaan dibentangkan di Parlimen. Mahathir tidak pakai petua yang dibuatnya. Dia telah membohongi dirinya sendiri. Akibat menghalalkan yang haram. Dilema Melayu, masa haram dulu bagus tapi bila halal isinya jadi haram.

Bila Mahathir sendiri tidak betul, macam mana Anwar Ibrahim boleh jadi betul. Dulu Anwar menentang pindaan Akta Pertubuhan, tapi sekarang dia menyokong bila menghadapi pindaan Perlembagaan macam ini. Apa nak dihairankan ? Kedua-duanya datang naik tongkang ke negeri ini. Zaman dulu kala. Apa hendak dipelikkannya.

Dalam konteks sekarang, Ketua Parti yang memerintah adalah Ketua Kerajaan. Sama kedudukannya dengan Perdana Menteri yang dikritik oleh Dilema Melayu dahulu.

Bila Rang Undang-Undang akan menjadi Undang-undang sekadar diluluskan oleh Parlimen, maka sudah tidak ada lagi pihak yang boleh mengawasi atau menyoal apa-apa yang dibuat oleh Ketua Kerajaan yang tentunya menguasai Parlimen.

Walaupun sebelum Pindaan, hakikatnya Perdana Menteri juga yang berkuasa, Yang DiPertuan Agung masih boleh menangguhkan pengesahan sebarang Undang-undang kalau Baginda mahu. Walaupun selama ini Yang DiPertuan Agung dipercayai tidak pernah membantah keputusan Parlimen, tetapi sekurang-kurangnya boleh juga Raja bertanyakan sesuatu mengenai apa jua perkara yang diluluskan.

Dalam perkara-perkara tertentu kemahuan kerajaan memerlukan persetujuan Majlis Raja-raja. Tetapi apabila peruntukkan baru ini dibuat, Parlimen terlepas dari sebarang odit dan periksa.

Inikah cara mahu bersih? Kalau kita betul bersih, kita tidak takut sesiapa pun yang datang hendak periksa kita. Itulah sebabnya Tuhan menurunkan Nabi Muhammad SAW sebagai satu rahmat kepada dunia ini kerana sifatnya dan setiap pemimpin Islam yang mengikut sunnah rasul saja boleh membawa rahmat kepada umatnya. Dia diturunkan untuk menyelamatkan manusia. Bukan menyelamatkan Mahathir dan kuncu-kuncunya sahaja.

Satu lagi dosa Mahathir yang tidak boleh dimaafkan terutamanya oleh umat Islam Sabah ialah tindakkannya membuang USNO dari Barisan Nasional. Sungguh tak ikut cakap dan perintahnya, di tunjukkan dia punya terror, tunjuk handal. Katanya lagi masalah isu perlembagaan sudah selesai. Kalau sudah selesai lupakanlah saja...Buat apa nak buang USNO lagi ? Itu tanda melepaskan dendam dan geram. Itu cara nak cari gaduh.

Ikutlah sifat Nabi. Kata Islam sangat.. Nabi setiasa memberi maaf kepada umatnya. Cakap pasal Islam, suruh Iran dan Iraq berdamai,. Janganlah marahkan nyamuk kelambu dibakar. Kalau marahkan Tun Mustapha, buang saja Presiden USNO itu. Ada orang cerita pada saya Mahathir buang USNO kerana ramalan saya dalam buku Tuah Nasib Pemimpin Malaysia yang Harris Salleh akan jatuh. Berjaya tidak akan berjaya lagi dan USNO yang dipimpin oleh Tun Mustapha akan kembali berkuasa.

Apakah dengan membuang USNO dari Barisan Nasional, Tun Mustapha akan kehilangan semangat untuk berjuang. Semangat pemimpun USNO tidak akan berkubur. Pemimpin USNO akan menjadi tekad dan berani. Perbuatan Mahathir membuang USNO menanam semangat kebencian orang terhadapnya. Orang UMNO sendiri pun ramai yang sakit hati dan marah pada kezaliman Mahathir.

Berjaya sudah sampai kemuncak dimana mereka akan bercakaran sesama sendiri. Pemimpun Berjaya adalah bekas pemimpin USNO yang belot pada perjuangan. Dan tidak mustahil orang yang pernah belot akan belot kembali. Kalau UMNO boleh bercakar-cakaran, MIC, MCA, Parti Snap di Sarawak boleh meletup dari dalam, kenapa Berjaya tidak boleh gagal? Harris bukan nabi, bukan raja. Hari ini Mahathir berkuasa, Harris bolehlah selamat. Besok, Tuhan yang menentukan.

Kedudukan Mahathir pun nampaknya tidak begitu selamat, walaupun dia sudah menang kerusi Presiden tanpa bertanding. Bagaimana dia boleh menjamin keselamatan Harris dan Berjaya? Mentang-mentang Tun Mustapha sudah miskin, sudah tua, sudah tidak ada kuasa lagi. Tengoklah nanti apa akan terjadi kepada pemimpin yang kejam dan zalim macam ini. Tengok apa yang telah terjadi pada Hussein Onn, setelah membuang dan menjatuhkan Tun Mustapha, Datuk Harun dan PAS dari Barisan Nasional.

Mahathir naik macam air pasang malam, senyap-senyap saja. Sedar-sedar hampir semua orang jadi kelam kabut.Apa tidaknya, air sudah diparas hidung kalau lambat sikit orang Melayu sedar, tentu ramai yang lemas, ini pun ada yang sudah mula terapung-apung. Orang yang boleh selamat, berenang. Mereka yang beringat, yang beriman, yang tidak pernah kagum dengan kebaikkan Mahathir lahiriah Mahathir, tidak pernah takut dengan kebesarannya.

Itulah Mahathir. Dia sudah bawa keluar ular tedungnya. Ular tedung itu sudah mematuk, tapi nasib baik tidak mengena. Kalau tidak Mahathir dan kawan-kawannya pasti sudah dapat syurga dunia yang lama dirancang dan dimimpikannya.

sekian.

dipetik dan ditulis semula dari buku

S.H.Alattas bertajuk "FIRASAT Rahsia Mengenal Diri Sendiri"

Salam Reformasi & KeADILan

kekanda@mddanial